Monday, November 21, 2011

Jika dia bukan jodoh aku??

Banyak orang persoalkan semua ni,,yela bila bercinta punya la beria tgk-tgk kahwin dengan orang len gak...tapi kita kena setiap suratan yang berlaku dlm hidup ini..mungkin ada hikmah kenapa semua ni berlaku..mungkin Allah nak berikan yang terbaik untuk kita...



Bukan senang untuk beriman dengan takdir. Kita mungkin berkata kita percaya, tetapi apabila datang dugaan-dugaan tertentu, ada yang akan cuba bertindak seolah-olah tidak dapat menerima ketentuan tuhan. Firman Allah s.w.t di dalam surah Hud ayat 9,

“Dan demi sesungguhnya! Jika Kami rasakan manusia sesuatu pemberian rahmat dari Kami kemudian Kami tarik balik pemberian itu daripadanya, mendapati dia amat berputus asa, lagi amat tidak bersyukur.”

Orang yang berusaha dengan niat untuk beramal akan “berasa lain” sekiranya mereka gagal mencapai matlamat. Mereka akan sentiasa berasa tenang walaupun didatangi kesusahan atau kesenangan. Mereka terdiri daripada golongan yang bahagia di dunia dan sedang menanti kebahagiaan di akhirat. Tiada satu perkara yang berlaku pada diri mereka yang dapat menggugat ketenangan itu.

Sebaliknya, mereka yang berusaha untuk kebahagiaan dunia mungkin akan merasa bahagia apabila matlamat tercapai. Namun sekiranya gagal, mereka akan berasa amat dukacita. Sekiranya mereka kehilangan sesuatu, mereka akan bermatian-matian untuk mempertahankan atau mendapatkannya semula. Sekiranya mereka gagal mendapatkannya semula, hati mereka akan berasa gelisah dan hidup mereka mula menderita. Lalu mereka menyalahkan orang lain dan akhirnya menyalahkan tuhan.

Jika seseorang itu jodoh kita, dia tetap jodoh kita. Jika seseorang itu bukan jodoh kita, dia tetap bukan jodoh kita, walaupun apa pun yang kita lakukan, tidak ada gunanya memaksa diri mempertahankan. Dengan menyerahkan kepada ketentuan, lazimnya tuhan akan membuka jalan-jalan yang tidak pernah kita fikirkan.

Mempercayai takdir bukan bermaksud berputus asa. Frasa “putus asa” sepatutnya tidak wujud di dalam kamus hidup seorang mukmin. Kita tidak boleh berputus asa dalam mengharapkan rahmat Allah.

Perbanyakkan doa untuk kebaikkan. Sebarang usaha perlu dijalankan dengan kaedah yang betul. Ada sesetengah orang yang ditinggalkan kekasih atau suami lalu cuba mendapatkan semula dengan kaedah mengumpat, memfitnah dan memburukkan orang lain.

Kurangkan ketawa banyakkan menangis

Firman Allah SWT melalui ayat 82 surah at-Taubah bermaksud: “Maka bolehlah mereka (golongan munafik) ketawa sedikit (di dunia ini) dan mereka akan menangis banyak (di akhirat kelak), sebagai balasan bagi apa yang mereka telah usahakan (semasa hidup di dunia).” Dan dalam ayat 60 surah an-Najm yang bermaksud: “Maka mengapa kamu ketawa dan tidak menangis?”

Mesej daripada maksud dua potong ayat di atas walaupun pendek, sarat dengan pelbagai pengajaran yang perlu diambil oleh kita semua, betapa Allah SWT mencemuh golongan munafik yang boleh disifatkan sebagai golongan yang mana hidup mereka penuh dengan kepura-puraan.


Sesungguhnya kedua-dua ayat berkenaan di atas ditujukan kepada golongan munafik yang banyak mempersendakan kebenaran ayat-ayat al-Quran ataupun pengajaran daripada hadis-hadis Nabi Muhammad s.a.w. Mereka merupakan golongan yang menzahirkan luaran mereka sebagai orang Islam, tetapi pada sanubari mereka menyatakan kebencian yang amat sangat terhadap Islam, lebih dahsyat daripada orang bukan Islam.

Mereka menyatakan kononnya mahu melakasana dan menegakkan hukum-hukum Islam, tetapi pada masa yang sama menyubur serta memperbanyakkan program-program maksiat melalui penganjuran sitcom-sitkom gelak ketawa, malah dipertandingkan seperti ‘Rajalawak’/'Lawaking’ yang mahu mengajak penonton supaya banyak ketawa dan menangis sedikit.

Tidak ada program lawak yang mengajak manusia untuk berfikir pada alam akhirat atau menyebabkan mereka menangis. Tetapi yang jelas bahawa mereka diajak untuk ketawa hingga lupa tugas sebenar untuk beriman kepada Alla SWT, sesungguhnya terdapat pandangan di kalangan ulama kontemporari hari ini yang menegaskan bahawa umat Islam adalah umat serius yang mempunyai tanggungjawab besar menyeru manusia sejagat untuk kembali kepada fitrah mereka iatu menyembah Allah – Tuhan segala manusia.

Apa yang jelas jika ciri-ciri golongan munafik ada dalam diri insan Muslim, ia boleh dianggap sebagai satu musibah besar, kerana ciri-ciri tersebutlah yang akan mengundang kemarahan Allah dan sudah pasti tidak akan berjaya mendapatkan pertolongan Nabi Muhammad pada hari akhirat kelak.

Perkara ini ada ditegaskan Allah melalui firman-Nya dalam ayat 145 surah an-Nisaa yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang munafik itu ditempatkan pada tingkatan yang terkebawah sekali dari (lapisan-lapisan dalam) neraka. Dan engkau tidak sekali-kali akan mendapat sesiapa pun yang boleh menolong mereka.”



Berdasarkan hadis Riwayat Bukhari dan Muslim, Nabi Muhammad s.a.w mengatakan:

Tanda orang-orang munafiq itu ada tiga keadaan.

* Pertama, apabila berkata-kata, dia berdusta.

* Kedua, apabila berjanji, dia mengingkari.

* Ketiga, apabila diberikan amanah (kepercayaan), dia mengkhianatinya.



Amanah Daripada Allah

Apabila dilihat kepada maksud pengisian yang ada dalam hadis baginda di atas, kita dapat simpulkan bahawa masih terdapat di kalangan umat Islam hari ini yang sanggup berdusta semata-mata untuk mencapai impian dalam hidup mereka.

Mereka tidak mempedulikan larangan Allah atau suruhan-Nya, yang dilarang itulah menjadi keutamaannya untuk dilakukan, sedangkan suruhan Allah diabaikan. Gambaran ini dapat dilihat secara jelas, sebagai contoh penyertaan individu Muslim dalam program yang dilarang seperti Rajalawak, ia menjadi pilihan dan kesukaan ramai manusia hari ini, pada masa yang sama ramai juga yang meninggalkan solat kerananya.

Begitu juga individu Muslim yang berbuat janji, apatah lagi janji mereka kepada Allah seperti dalam lafaz yang diungkapkan dalam solat, sesungguhnya hidupku, matiku dan seluruh amal ibadatku adalah hanya untuk Allah, Tuhan sekelian alam.

Tetapi selepas solat, banyak perkara yang dijanjikan itu disanggah secara langsung atau tidak langsung, ramai Muslimat yang solat dengan pakaian kain telekung yang mencantikkah penampilan mereka, tetapi ramai juga di kalangan mereka mendedahkan aurat atau menampakkan rambut mereka di hadapan khalayak lelaki.

Begitu juga dengan amanah yang diberi, terutamanya amanah sebagai manusia Islam yang diwajibkan untuk melaksanakan segala titah perintah Allah SWT dalam erti kata sebenarnya. Tetapi ia hanya seruan yang tertinggal di atas mimbar oleh khatib pada setiap hari Jumaat, ia tidak digarap dengan baik oleh para jemaah, amanah untuk membangun bersama Islam tidak ditepatinya. Amanah untuk mendaulatkan Islam juga hanya retorik semata-mata, kesemua agenda hidup tidak berteraskan untuk kurangkan ketawa dan menangis banyak kerana takut kepada Allah.

Program-program kuliah dan ceramah di masjid-masjid atau surau-surau kebanyakannya dihadiri oleh golongan pesara walaupun terdapat golongan muda atau remaja, tetapi jumlahnya terlalu sedikit. Mungkin kempen kepada golongan ini untuk ke masjid atau surau tidak dikuat-kuasakan oleh pihak berkuasa, sebab mereka pun tidak terfikir untuk ke masjid atau surau, tetapi kempen untuk program ketawa seperti ?Jomheboh? dan lain-lain dipromosikan dengan hebat sekali, sebab yang berkempen pun akan menyertainya.



Yang Pahit Itu..

Kepada mereka dibacakan sebuah hadis Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud: “Kemanisan di dunia akan memahitkan nanti di akhirat, dan apa-apa yang memahitkan di dunia akan memaniskan seseorang itu di akhirat.”

Sesuatu yang manis pasti akan menggembirakan seseorang, seperti kerap makan durian yang sedap dan enak, tetapi ia akan menjadikan seseorang itu mungkin akan terkena obesiti dan kencing manis, berbanding dengan ubat periuk yang pahit, bagi pengamal yang sering meminumnya walaupun tidak sedap, tetapi ia menjanjikan kesihatan yang baik.

Begitulah sebaliknya bagi mereka yang mengutamakan yang pahit, maksudnya menjalani proses hidup sebgai Muslim yang beramal dengan solat lima kali sehari semalam. Ia menjadi manis bagi orang biasa buat, tetapi ia dianggap pahit atau sukar untuk dilakukan bagi mereka yang tidak biasa atau golongan yang memiliki ciri-ciri orang munafik.

Apapun semua yang pahit itu sebenarnya akan membahagiakan seseorang itu nanti di alam akhirat, termasuklah berada dalam jemaah yang berteraskan Islam. Untuk memajukan Islam sebagai cara hidup bukanlah satu perkara yang mudah, namun ia memerlukan kesabaran yang cukup tinggi dan kewarasan pemikiran untuk mendapatkan syafaat (rekomendasi) daripada baginda Rasulullah s.a.w. di akhirat kelat, Insya-Allah. Yang penting banyakkan menangis kerana takut kepada Allah SWT.

Wanita Tidak Semestinya Perlukan Lelaki




Wanita tidak semestinya memerlukan lelaki, tetapi wanita dan lelaki saling memerlukan, cinta itu anugerah.
Mengapa wanita memerlukan lelaki di dalam hidupnya? Untuk beberapa waktu dahulu, ia begitu memukul-mukul kepala.

Ya, apa perlu seorang wanita yang bebas mempertaruhkan sebahagian besar hidupnya kepada tangan seorang lelaki?
Bukankah lebih hebat jalan dihujung minggu bersama kawan rapat, berkenyit-kenyitan mata kepada lelaki kacak yang saling tidak putus dan tidak lokek senyum tanda salam perkenalan.
Cinta tidak datang dipaksa-paksa. Cinta tidak juga datang kala kita mahukannya. Jika kita mahukan ia menjadi air, ia datang seperti api.
Tetapi, jika kita bersabar dan menerima ketentuan Tuhan, seorang lelaki yang baik akan didatangkan kepada kita juga. Lelaki yang baik itu tidak turun dari langit.
Lelaki yang baik itu juga tidak semestinya datang dengan kepala berketayap, janggut selambak atau harta membuak-buak.

Tetapi lelaki yang baik, jika Tuhan mahukan dia menemani kita sepanjang hayat, membimbing kelakuan kita, menjaga kemurnian kalbu bersama-sama, mendidik, membuka jalan agar kita dapat memperdalam selok belok agama yang barangkali selama ini hanya menjadi pakaian dan lencana, dan memberikan kita zuriat yang halal lagi dirahmatiNya.
Dia akan datang apabila tiba masanya. Lambat atau cepat, maafkan saya, kerana Allah itu yang lebih mengetahui.

Kawan, kedatangan seorang lelaki dalam kehidupan seorang wanita seperti manusia kudung yang diberikan semula sebelah kakinya. Dia menyempurnakan kita.
Namun, tidak kira semasyhuk mana sekalipun perkasihan dua jantina, selain perkara yang cantik-cantik dan molek-molek, kita, wanita, harus bersedia menerima kehodohan-kehodohan perhubungan.
Kerana apabila kita mempersilakan seorang lelaki duduk di samping kita untuk sepanjang hayat, bererti kita harus langsung juga mempersilakan sekian masalahnya berbaring di bahu kita.
Kerana itu tidak hairan jika kita mendengar ada di kalangan kita, gadis, yang merungut-rungut kerana tanggungjawabnya terhadap keperluan hidup lelaki tidak juga berkurangan walaupun belum lagi berkahwin.
Ya, lelaki memang mendatangkan bahagia.

Tetapi lelaki juga mendatangkan sengsara. Namun jika kita bijak menatangnya, semuanya pasti baik-baik sahaja. Itulah adat dalam perhubungan. Yang buruk-buruk pasti ada.
Barangkali daripada si dia, barangkali juga daripada kita, tetapi kita harus cermat mengimbangkannya agar jodoh berkekalan ke hari tua.

Bagi yang sedang galak bercinta dengan lelaki permata jiwa tetapi menerima tentangan keluarga dua pihak, jika anda fikir anda tidak mungkin mampu hidup bahagia tanpa restu ibu bapa, maka ada baiknya anda menyerah kalah saja.
Walaupun tidak saling memiliki, dan cinta tidak juga diwali dan dinikahi, anda dan dia tetap pengantin di dalam jiwa.

Barangkali sudah sampai masanya anda mencari sahaja lelaki lain untuk dibawa pulang menemui ibu bapa.
Dan semoga lelaki yang dipilih, melaksanakan tanggungjawab dan melunaskan hak suami isteri.
Wanita, kita dicipta dengan kemuliaan syahadah. Kerana benih seorang lelaki, kita ini tersenyawa, dikurnia tenaga sehingga kita mampu menyibak jalan keluar dari rahim ibu untuk melihat dunia.
Kerana benih seorang lelaki, kita ini ditiupkan jiwa, menjadi manusia, dan mencari seorang lelaki untuk dicintai, sebagaimana ibu diilhamkan Tuhan untuk berkasih sayang dengan bapa.
Dan kerana Tuhan yang Maha Kuasa dan Maha Pencipta, kita wanita, kita ini diciptakan daripada lengkungan rusuk kiri lelaki, tidak terlalu gagah sehingga mengenepi kudrat lelaki, tidak juga terlalu lemah sehingga jatuh menyembah kaki.

Tetapi kerana ciptaan Tuhan itu indah, kita terbit daripada rusuk lelaki, bukan dekat kepala untuk dijunjungi, bukan dekat bahu untuk membebani, bukan dekat lengan untuk dijulangi, bukan dekat jari untuk disakiti, bukan dekat pinggul untuk dihenyaki, bukan dekat lutut untuk ditindihi, bukan dekat kaki untuk ditunggangi, tetapi dekat pelusuk hati untuk dimulia, disayangi dan dicintai.
Andai lelaki itu burung yang terbang, kita adalah angin lembut yang bersisir-sisiran sepanjang perjalanannya.
Tetapi kerana fitrah kejadian Tuhan wanita itu kebergantungan hidupnya harus saja diserahkan kepada seorang lelaki yang boleh melindungi, maka kita pun tidak selamanya mahu menjadi angin semata-mata.
Kita mahu menjadi bunga, menghias sayapnya. Kita mahu terus bersama-sama, terbang dari rendah perkebunan bunga sehingga ke sayup langit terbuka, sehingga jalannya yang paling hujung, sehingga kita tua, rapuh dan mati.

Tetapi kita bahagia dalam dakapannya, semoga kita semua diketemukan dengan jodoh yang baik. InsyaAllah...

Wajah yang cantik datang dari hati yang cantik....



“Mengapa dia tidak faham rintihan hati aku?” keluh seorang sahabat rapat kepada saya.

“Bukan aku tidak cinta, tetapi tolonglah berhias diri,”tambahnya lagi.

“Mengapa? Teruji sangatkah?”

“Apa tidaknya… di pejabat aku berdepan dengan berbagai-bagai wanita. Semuanya berhias dan berwangi-wangian.”

“Kau menjaga pandangan?”

“Bukan sahaja pandangan tetapi penciuman. Dunia akhir zaman, kau bukan tidak tahu.”

“Ya, Iman kita sering teruji,” balas saya, seakan-akan menumpang keluhannya.

“Yang aku hairan tu, isteri aku ni bukan tidak cantik, cantik. Tapi entahlah, sekarang ni semakin hilang moodnya untuk menjaga diri.”

“Kita dah semakin berusia. Apa lagi yang kita cari dalam hidup ini,” pujuk saya untuk meredakannya.

“Tetapi itu bukan alasan untuk dia tidak menjaga diri. Kita sebagai suami sering diuji, setidak-tidaknya berilah sedikit bantuan untuk kita hadapi ujian itu.”

Saya senyum. ‘Bantuan’ yang dimaksudkannya membawa pelbagai tafsiran.

“Kau yang mesti mulakan dulu, insya-Allah isteri akan mengikut nanti,” cadang saya.

“Ya, aku dah mulakan. Mudah-mudahan dia dapat ‘signal’ tu…”

“Amin.”

Saya termenung memikirkan ’masalah kecil’ yang kekadang boleh mencetuskan masalah besar itu. Sepanjang pergaulan saya telah ramai suami yang saya temui mengeluh tentang sikap isteri yang malas berhias.

“Apa guna, kita dah tua.”

“Alah, awak ni tumpu ibadat lah.”

“Dah tua buat cara tua.”

Itulah antara alasan yang kerap kita dengar daripada para isteri.

Ramai suami yang baik, tidak memilih jalan singkat dan jahat untuk menyelesaikan masalah seperti menyimpan perempuan simpanan, pelacuran dan sebagainya. Ada juga yang ingin mencari jalan baik ( seperti poligami) tetapi tidak berapa berani berdepan dengan isteri. Ada juga yang terus memendam rasa seperti sahabat rapat saya itu.

“Tak berani poligami?” Dia menggeleng kepala.

“Tak ada calon ke?” saya mengusik lagi.

“Ramai…”

Memang saya lihat pada usia awal 40-an dia tambah segak dan bergaya.

“Habis kenapa?”

Dia diam. Saya renung wajah sahabat saya yang begitu akrab sejak dahulu. Dia memang lelaki baik, berakhlak dan begitu rapi menjaga ibadah-ibadah khusus dan sunat.

“Aku sayang isteri aku. Sangat sayang. Aku tidak mahu hatinya terguris atau tercalar. Aku kenal dia. Walaupun mungkin dia tidak memberontak, tetapi kalau aku berpoligami dia pasti terluka.”

“Kau sudah berterus terang dengannya?”

“Tentang apa, tentang poligami?”

“Bukanlah. Tapi tentang sikapnya yang malas berhias dan bersolek tu?”

“Aku takut melukakannya.”

“Tak mengapalah kalau begitu, biar kau terluka, jangan dia terluka,” saya berkata dengan nada sinis.

Dia faham maksud saya.
“Aku sedang mencari jalan berterus-terang,” dia mengaku juga akhirnya.

“Tak payah susah-susah. Katakan padanya dia cantik, tetapi kalau berhias lebih cantik…”

“Lagi?”

“Katakan kepadanya, berhias itu ibadah bagi seorang isteri. Jadi, bila kita yakin berhias itu ibadah, tak kiralah dia telah tua ke atau masih muda, cantik atau buruk, dia kena berhias. Dapat pahala, walaupun tak jadi cantik, atau tak jadi muda semua,” saya senyum.

Kemudian ketawa. Pada masa yang sama saya teringat apa yang dipaparkan oleh media massa bagaimana ‘ayam-ayam’ tua (pelacur-pelacur tua) yang terus cuba menghias diri untuk menarik pelanggan-pelanggan mereka. Mereka ini berhias untuk membuat dosa. Lalu apa salahnya isteri-isteri yang sudah berusia terus berhias bagi menarik hati suami mereka, berhias untuk mendapat pahala? Salahkah?
Mencari kecantikan isteri, bukan isteri yang cantik

“Kita para suami pun banyak juga salahnya,” kata saya.

“Kita tak berhias?”

“Itu satu daripadanya. Tapi ada yang lebih salah daripada itu,” tambah saya lagi.

“Salah bagaimana?”
“Salah kita kerana kita masih mencari isteri yang cantik bukan kecantikan isteri!”

“Dalam makna kata-kata kau tu…”

“Tak juga. Sepatutnya, pada usia-usia begini fokus kita lebih kepada kecantikan isteri. Di mana kecantikan sejati mereka selama ini.”

“Pada aku tak susah. Pada hati mereka. Pada jasa dan budi yang selama ini dicurahkan untuk kita demi membina sebuah keluarga.”

“Ya, jangan tengok pada kulit wajah yang luntur tetapi lihat pada jasa yang ditabur. Bukan pada matanya yang sudah kehilangan sinar, tetapi lihat pada kesetiaan yang tidak pernah pudar. Itulah kecantikan seorang isteri walaupun mungkin dia bukan isteri yang cantik.”

“Kau telah luahkan apa yang sebenarnya aku rasakan. Itulah yang aku maksudkan tadi, aku tak sanggup berpoligami kerana terlalu kasihkannya.”

“Kasih ke kasihan?” saya menguji.

“Kasihan tak bertahan lama. Tetapi aku bertahan bertahun-tahun. Aku kasih, bukan kasihan.”

Tongkat 
‘muhasabah diri’ vs tongkat Ali
“Relaks, aku bergurau. Tetapi ada benarnya kalau isteri katakan bahawa kita telah tua.”

“Maksud kau?”

“Bila kita sedar kita telah tua, kita akan lebih serius dan lajukan pecutan hati menuju Allah! Bukan masanya untuk berlalai-lalai lagi.”

” Ya, aku teringat kisah Imam Safie. Ketika usianya mencecah 40 tahun, dia terus memakai tongkat. Ketika muridnya bertanya kenapa? Kau tahu apa jawabnya?”

Saya diam.

“Beliau berkata, aku ingatkan diriku dengan tongkat ini bahawa usiaku sudah di penghujung, bukan masanya lagi untuk berlengah, tetapi untuk menambah pecutan dalam ibadah menuju Allah.”

Saya diam. Terus termenung. Imam Safie, tak silap saya wafat pada usia awal 50-an. Tepat sungguh firasatnya. Insya-Allah, jalannya menuju Allah sentiasa diredhai.

“Kalau kita seserius Imam Safie, insya-Allah, kita boleh hadapi masalah isteri tidak berhias ini. Kita akan cari kecantikannya yang abadi untuk sama-sama memecut jalan menuju Ilahi…” tegas sahabat saya itu.

“Kita tidak akan lagi diganggu-gugat oleh godaan kecantikan dari luar yang menguji Iman. Kita juga tidak akan dikecewakan oleh pudarnya satu kecantikan dari dalam yang mengganggu kesetiaan.”

“Ya, kalau kita baik, isteri pun akan baik. Bila hati baik, kita akan cantik selama-lamanya!”


Ironinya, ramai suami yang telah berusia masih belum sedar hakikat ini. Seperti Imam Safie, pada usia-usia begini ramai suami yang mula mencari tongkat. Sayangnya, bukan ‘tongkat muhasabah diri’ tetapi ‘tongkat Ali!’ 

Friday, November 18, 2011

8 fakta unik mengenai CINTA

Assalamualaikum semua.....hehhehe...lama gila x update blog aku yang x berapa nak cantik ni....hehheheh...kali ni aku nak update perkara yang unik mengenai Cinta la...(asyik-asyik cinta je la aku ni...soriii saje nak share la walaupun aku ni bukan bercinta pn....)okeh korang tgk la pe yang unik sangat dengan cinta ni ye....

1 Kajian otak manusia menunjukkan bahawa jika sesorang melihat dan merenung gambar orang yang disayanginya dalam tempoh yang lama, ia akan meransang bahagian ‘caudate’ otak – bahagian yang menghasilkan rasa kemahuan yang kuat (craving).


2 Lelaki yang mencium isterinya di pagi hari dikatakan akan hidup 5 tahun lebih lama daripada lelaki yang tidak melakukannya. ( Ape lagi, ciumlah isteri anda atau sekadar pelukan manja pun ok)

3 2 per 3 orang mengatakan bahawa mereka jatuh cinta kepada seseorang yang mereka kenal lama berbanding dengan seseorang yang mereka baru kenal.(Selebihnya cinta pandang pertama kot)

4 43% wanita tidak suka lelaki menulis ‘love’ atau ‘cinta’ di atas kad,email dan sms melainkan kata-kata tersebut disertakan dengan komitmen. ( Nampaknya kaum hawa memandang serius terhadap kata-kata cinta)

5 Seseorang yang baru jatuh cinta dan dilamun cinta akan mengeluarkan hormon serotonin yang sedikit, jumlahnya seperti tahap kandungan hormon orang yang dilanda penyakit obsesi terlampau. Sebab tu orang yang dilamun cinta memang kelihatan seperti orang gila :)

6 Mengikut kajian Dr. Helen Fisher dari Rutgers University, penulis buku ‘Why We Love, apabila seseorang baru berpisah (break up), dia akan berasa semakin sayang terhadap bekas pasangannya. Bahagian otak yang membuat kita rasa gembira terus aktif pada ketika ini. (Sebab tu lah kebanyakan pasangan yang baru berpisah tak boleh tahan perasaan sayang dan rindu sewaktu mereka masih bersama dulu)

7 Mengikut teori matematik, seseorang seharusnya bercinta/couple dengan sedozen orang sebelum menemui pasangan yang boleh dijadikan pasangan hidup sejati. (Teori matematik je pon, sukati andalah nak ikut ke tak)

Ini akan mengejutkan anda : Cinta yang bahagia akan membuatkan kedua-dua lelaki dan wanita menjadi gembira. Semakin kuat komitmen mereka terhadap hubungan, semakin bertambah gembira mereka.